suria

Pekerja Istana Anak Bukit Mati Lemas Motosikal Terbabas Ke Dalam Tali Air

ALOR SETAR: Seorang Pekerja Rendah Am di Istana Anak Bukit mati lemas selepas motosikalnya dipercayai terbabas ke dalam tali air berhampiran Hutan Kampung di sini pagi Selasa.

Roslan Hashim, 52, ketika kejadian dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi menghantar kuih untuk jualan di kafetaria hospital tersebut.

"Itulah yang dilakukan suami saya sejak enam tahun lalu sebelum dia pergi kerja di istana. Setiap pagi dan tengah hari dia akan hantar kuih melalui jalan (batas ban) yang sama," kata isteri mangsa Ramlor Rejab, 50, ketika ditemui di hospital berkenaan.

Ramlor berkata beliau mengetahui kematian suaminya setelah menerima panggilan telefon daripada rakan sekerja suaminya kira-kira pukul 8.30 pagi.

Rakan setugas mangsa Rosdi Ali, 40, berkata selalunya Roslan akan sampai di tempat kerja kira-kira pukul 7.30 pagi namun pada hari ini mangsa didapati lewat tiba.

Beliau kemudianya mendapat tahu tentang kejadian itu melalui pihak polis istana.

"Selepas tahu tentang kejadian itu, saya bersama rakan-rakan yang lain terus datang ke hospital," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain