suria

Pakatan Rakyat Bertemu SPR Bangkit Isu Sistem Undi PRU

PUTRAJAYA: Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin bagi membincangkan isu berbangkit dan semasa mengenai sistem undi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya membincangkan mengenai isu sistem undi proksi, undi pos dan persempadan semula.

Menurut beliau, ini termasuk perbincangan mengenai peraturan baru berkaitan dengan sistem undi yang akan diperkenalkan oleh SPR.

"Apa yang jelas, SPR tidak akan melaksanakan undi proksi (sistem yang membolehkan pengundi berdaftar yang tidak dapat hadir mengundi diwakili oleh seorang yang layak).

"Mengenai undi pos, apa yang kami dengar adalah askar wataniah akan diletakkan dalam setiap kawasan parlimen. Justeru, kami cadangkan mereka tidak termasuk dalam undi pos," katanya kepada media di sini, Isnin.

Mengenai persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya, Mustafa berkata, agak sukar untuk melaksanakannya sekiranya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini.

Ini katanya, kajian terhadapnya hanya akan dilakukan pada 31 Mac ini selepas tamat tempoh lapan bulan perundangan persempadanan.

"Mereka (SPR) juga seperti mengakui bahawa sistem persempadanan tidak dilakukan pada tahun ini kerana kajian mengambil masa sehingga dua tahun iaitu 2013.

"Jika PRU ke-13 diadakan tahun ini maka kesimpulannya semua kerusi masih kekal tanpa persempadanan baru," katanya.

Sementara itu, Ahli Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat, R.Sivarasa pula berkata, pertemuan itu bukan yang pertama kerana sudah banyak dilakukan bersama SPR.

Menurut beliau, sejak dulu sudah dibangkitkan mengenai sistem reformasi pilihan raya tanpa undi pos serta penggunaan dakwat kekal.

"Namun malangnya, perkara berkenaan tidak mendapat persetujuan daripada SPR.

"Mereka cuma kata akan melakukan penambahbaikan pada sistem baru tetapi masih belum ada pengumuman mengenainya," kata Sivarasa.

Tambahnya lagi, pendaftaran secara automatik juga telah dicadangkan kepada SPR.

"Kami minta mereka bawakan (cadangan) kepada kerajaan tetapi tidak mendapat jawapan yang positif.

"Mereka cuma kata perkara itu memerlukan pindaan perlembagaan. Bagaimanapun kami sokong sekiranya ia dipinda," katanya.

Antara lain yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut adalah mengenai umur pendaftaran pengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

Setiausaha Biro Pilihan Raya DAP, Liew Chin Tong mencadangkan agar tempoh kempen pilihan raya dilanjutkan kepada 21 hari.

Ini katanya, jika hendak diikutkan kempen PRU pertama pada tahun 1959 adalah 42 hari.

"Kami hanya mencadangkan separuh daripadanya dan tempoh itu adalah munasabah untuk berkempen," kata Chin Tong.

Difahamkan, perjumpaan yang berlangsung hampir dua jam itu dihadiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar serta pegawai tertinggi SPR lain.

Artikel Lain