suria

MCLM Umum Dua Lagi Calon PRU-13

KUALA LUMPUR: Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) telah menamakan dua orang lagi aktivis sosial - seorang jurunilai bertauliah wanita dan seorang doktor gigi - sebagai calon mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti.

Bekas presiden Persatuan Tindakan Wanita atau All Women's Action Society, Haslinah Yacob dan Dr Nedunchelian Vengu telah menawarkan diri untuk bertanding atas tiket MCLM, kata presidennya Haris Ibrahim di Ibu Pejabat pergerakan itu di Taman Desa dekat sini, Selasa.

Haslinah, 49, seorang jurunilai bertauliah telah bergerak aktif sebagai pejuang suara wanita sejak 10 tahun lalu.

Sementara Dr Nedunchelian, 42, pernah berkhidmat sebagai aktivis Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Swasta selama tiga penggal.

Sebelum ini MCLM telah mengumumkan nama Presiden Persatuan Kebangsaan Hak-Hak Asasi Manusia atau National Human Rights Society, Malik Imtiaz Sarwar dan peguam hak asasi Sreekant Pillai sebagai dua calon mereka yang pertama untuk bertanding atas tiket gerakan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Belum pernah dalam sejarah pilihan raya umum negara ini mana-mana pertubuhan politik atau gerakan mengumumkan senarai calon mereka jauh lebih awal sebelum tarikh pilihan raya diketahui sepertimana yang dilakukan oleh MCLM.

Ia adalah satu budaya dan pendekatan baru dalam senario politik Malaysia.

Bloger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin adalah pengerusi MCLM.

MCLM telah dilancarkan 30 Oktober tahun lalu sebagai apa yang digelar gerakan kuasa ketiga dalam usahanya untuk melakukan reformasi terhadap iklim politik negara.

Artikel Lain