suria

Mahkamah Tidak Beri Kebenaran Balu Pendaki Everest Untuk Rayu

PUTRAJAYA: Usaha balu pendaki Everest Sarjan M. Moorthy untuk mendapatkan semakan kehakiman bahawa suaminya beragama Hindu ketika meninggal dunia lima tahun lepas dan dikebumikan mengikut amalan agama itu, sampai ke penghujungnya hari ini.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, sebulat suara tidak membenarkan S. Kaliammal mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan wanita itu untuk menentukan status agama suaminya atas alasan perkara tersebut secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Moorthy, yang nama Islamnya Mohamad Abdullah, dikatakan telah memeluk Islam sebelum meninggal dunia pada 20 Disember 2005, tanpa memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.

Arifin berkata Kaliammal, 35, tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman - bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan mestilah bersifat sempurna dan memberi manfaat kepada orang ramai.

Dengan penolakan itu, keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Syariah adalah pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa kompeten untuk menentukan status seseorang yang beragama Islam dan pertukaran agama seseorang yang dipertikaikan, dikekalkan.

Ketika menolak rayuan Kaliammal pada 20 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan juga membuat keputusan bahawa seseorang bukan Islam yang mencabar tindakan penukaran agama boleh tampil di Mahkamah Syariah untuk mengetepikan sebarang perintah.

Kaliammal kemudian memfailkan satu permohonan pada 21 Disember 2005 untuk memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa Moorthy beragama Hindu.

Moorthy dikebumikan pada 28 Disember 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota di Gombak, Selangor, selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memperoleh perintah sebelah pihak daripada Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa Moorthy telah memeluk Islam sebelum meninggal dunia.

Moorthy lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah akibat terjatuh ketika menjalani latihan di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998 dan terpaksa berkerusi roda. Dia kemudiannya koma akibat terjatuh daripada kerusi roda dan meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi Hospital Kuala Lumpur.

Dalam prosiding hari ini, peguam M. Manoharan, yang mewakili Kaliammal, meminta mahkamah memutuskan persoalan undang-undang tentang sama ada mahkamah sivil layak dan mempunyai bidang kuasa kompeten untuk menentukan status agama seseorang, khususnya tentang sama ada orang berkenaan beragama Islam atau sebaliknya.

Dalam hujahnya, Peguam Kanan Persekutuan Mahamed Naser Disa Mahamed Naser Disa, yang mewakili Pengarah Hospital Kuala Lumpur Hospital dan Kerajaan Malaysia, berkata isu berhubung bidang kuasa mahkamah kehakiman dan prinsip undang-undang telah termaktub dengan kemas dan tidak memerlukan sebarang penghujahan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya dalam banyak kes, mahkamah berkenaan (Mahkamah Persekutuan) telah mengisytiharkan bahawa Mahkamah Syariah merupakan forum yang sewajarnya untuk membuat keputusan tentang isu berkaitan tindakan seseorang memeluk Islam. - BERNAMA

Artikel Lain