suria

Jawatankuasa Disiplin PKR Diarah Tangguh Siasat Mustafa

SHAH ALAM: Jawatankuasa disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta menangguhkan siasatan terhadap bekas calon Timbalan Presiden, Mustafa Kamil Ayub yang menerima surat tunjuk sebab pada Isnin.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penangguhan itu berikutan kes berkenaan tidak dimaklumkan secara terpeinci kepada Biro Politik dan pimpinan tertinggi parti.

"Ia tindakan jawatankuasa disiplin yang tidak dirujuk kepada pimpinan. Dalam kes Mustafa, kita minta ditangguhkan kerana Biro Politik dan pimpinan belum dimaklumkan secara terpeinci," katanya di sini, Selasa.

Justeru katanya, Biro Politik yang akan bermesyuarat esok akan mendapatkan penjelasan daripada jawatankuasa disiplin berhubung tuduhan salah laku berkenaan.

Beliau mengulas tindakan jawatankuasa disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap bekas Naib Presiden itu.

Difahamkan surat tunjuk sebab berikutan tuduhan yang mengatakan Mustafa mengeluarkan kenyataan mengecam kepimpinan parti.

Bagaimanapun Anwar berkata terdapat pertikaian berhubung tuduhan terhadap Mustafa yang sebelum ini pernah dilihat sebagai 'orang kesayangannya'.

"Apa yang dimaklumkan kepada saya, tuduhan itu tidak melibatkan beliau secara peribadi.

"Ia melibatkan tindakan cabang, dan kita kena tanya apakah alasan jawatankuasa disiplin dan langkah-langkah yang dapat kita betulkan," katanya.

Menurut Anwar, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga telah menjelaskan mengenai perkara berkenaan kepada Mustafa.

"Presiden sempat berbicara dengan Mustafa untuk menjelaskan mengenai perkara ini supaya ia ditangguh sehingga kita mendapat maklumat daripada jawatankuasa disiplin yang membuat keputusan.

"Ada tindakan yang cabang buat tidak merujus khusus kepada kedudukan atau kenyataan Mustafa... itu yang dijelaskan kepada saya.

"Tapi yang lebih penting secara umum dah dimaklumkan tapi secara khusus tidak diberitahu, jadi kita nak tanya jawatankuasa disiplin," katanya.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai kedudukan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrisnan yang enggan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya, Anwar berkata: "Kalau dia tak nak jawab kita kena rujuk kepada jawatankuasa disiplin."

Gobalakrishnan yang tewas pada pemilihan PKR baru-baru ini bagi jawatan Naib Presiden menerima surat tunjuk sebab setebal 45 muka surat awal tahun ini ekoran tindakan menyerang kepimpinan parti.

Artikel Lain