suria

Bekas KP Penyiaran Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Tan Sri Dol Ramli, 88, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 malam Selasa kerana mengalami masalah lemah jantung.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Puan Sri Che Kamilah Marzuki, 84, dan kelima-lima anaknya, tiga lelaki dan dua perempuan.

Salah seorang anaknya, Aziz, 58, berkata jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah beliau di No.3, Lorong Mutiara 3, Off Jalan Mutiara, Taman Bukit Ampang di sini.

"Jenazah akan dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang," katanya.

Allahyarham meninggalkan 11 orang cucu dan dua orang cicit.

Pengasas Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan bekas Pengurus Besar Bernama itu dimasukkan ke wad Unit Penjagaan Koronari (CCU) IJN malam semalam. Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang tiba di IJN pada 7.20 malam Selasa sempat menziarahi Allahyarham selama kira-kira 20 minit sebelum Allayarham menghembuskan nafas terakhir.

Rais yang ditemui pemberita di IJN menyifatkan Dol sebagai sahabat lama yang banyak menyumbang jasa kepada RTM dan negara dalam pelbagai aspek khususnya dalam Bahasa Kebangsaan.

Dol adalah penulis lirik lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" dan aktif dalam aspek pemberitaan di surat khabar. - BERNAMA

Artikel Lain