suria

Tiada Kakitangan JPN Terlibat Dalam Sindiket Jual Bayi, Kata KP

PUTRAJAYA: Siasatan dalaman yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat ini mendapati tiada kakitangan jabatan itu terlibat dalam sindiket penjualan bayi yang dibongkar Polis DiRaja Malaysia di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Alwi Ibrahim berkata siasatan akan diteruskan dan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Jika ada kakitangan JPN yang terlibat, kami akan ambil tindakan serius," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan di sini, Ahad, yang menyaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada 101 penerima.

Selasa lepas pihak PDRM berjaya membongkar kegiatan satu sindiket jual bayi di sekitar Klang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa, dan polis turut tidak menolak kemungkinan terdapat dalang dalam agensi yang mengeluarkan dokumen kelahiran bayi itu. - BERNAMA

Artikel Lain