suria

Sidang DUN Tergempar Sah, Kata Speaker

SHAH ALAM: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang diadakan pada Isnin adalah sah mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri dan peraturan mesyuarat walaupun notis singkat dikeluarkan iaitu kurang 14 hari.

Speaker, Datuk Teng Chang Khim berkata beliau menggunakan kuasa mengikut Peraturan Tetap 10(3) yang kebiasaannya digunakan pada persidangan dewan negara-negara Komanwel.

"Memang notis yang dikeluarkan singkat, tapi saya juga tahu undang-undang dan peraturan mesyuarat. Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat mengikut Peraturan Tetap 10(3)," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada persoalan yang ditimbulkan Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) berhubung kedudukan sidang tergempar ini.

Bagaimanapun Teng menegaskan isu berkenaan tidak timbul dan mengarahkan sidang berkenaan diteruskan.

"Kalau rasa tidak sah, sila keluar. Memang (notis) dalam 14 hari tetapi Speaker boleh menandatangani satu sijil yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan sidang ini.

"Kalau ikut Peraturan 43 dan 87, keputusan Speaker adalah muktamad dan kalau hendak mencabar boleh buat usul,” katanya sambil mengingatkan ahli dewan supaya tidak mengganggu persidangan DUN.

Tegas Teng, beliau akan menggunakan Peraturan 44 (1) dan 44 (2) untuk mengarahkan mana-mana ADUN keluar dewan jika masih membangkitkan isu berkenaan.

Artikel Lain