suria

Serang Peribadi Calon BN: Pembangkang Tidak Beretika - Ismail Sabri

LABIS: Tindakan PAS yang mengancam untuk 'menyerang' peribadi calon Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menunjukkan mereka tidak beretika.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu juga membuktikan parti pembangkang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk ditawarkan kepada pengundi di Tenang jika mereka menang.

"Sepatutnya PAS bawa kepada rakyat di DUN Tenang ini apa yang boleh mereka lakukan kalau mereka menang tetapi mereka terpaksa serang peribadi kerana mereka tahu bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa kalaupun menang," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ditemui selepas merasmikan Bangunan Koperasi Peneroka Felda Tenang Berhad dan Pelancaran Program 'Tukar Koperasi di Felda Tenang', di sini.

Semalam, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pada satu sidang akhbar di sini berkata pembangkang akan membangkitkan 'isu-isu peribadi calon BN' jika MCA terus menjadikan pendekatan calon PAS Normala Sudirman tidak bersalam dengan pengundi lelaki sebagai isu.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini yang melabelkan wakil rakyat BN sebagai penderhaka kepada institusi raja-raja, Ismail Sabri berkata hanya pihak pembangkang yang berbuat demikian.

Perkara itu katanya, dapat dilihat menerusi laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadap pembangkang termasuk pemimpin di Selangor.

Abdul Khalid dilaporkan berkata demikian dalam ucapan pembentangan cadangan pindaan Perkara 52 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 pada sidang khas Dewan Undangan Negeri hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain