suria

Segerakan Angkat Sumpah Rahsia Khusrin - Mohamad Satim

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman menggesa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengadakan majlis angkat sumpah simpan rahsia Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamad Khusrin Munawi dengan kadar segera.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya tidak terus melengah-lemgahkan upacara berkenaan bagi memastikan Mohamad Khusrin dapat menjalankan tugas beliau demi kebaikan rakyat.

"Upacara itu kena buat segera, kalau boleh dalam masa terdekat atau minggu depan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri yakin Mohamad Khusrin akan berkhidmat dengan profesional.

Justeru Abdul Khalid berkata perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Mohamad Satim berkata Menteri Besar itu terperangkap dalam mainan politiknya apabila mahu menggubal undang-undang bagi melantik SUK.

"Beliau dah terperangkap dalam mainan politik yang diciptanya sendiri, jadi bila dah tak berjaya nak pinda Perlembagaan, beliau terpaksa akurlah.

"Jadi beliau kena buat 'u-turn' dan setuju dengan perlantikan SUK yang sememangnya sah dari segi undang-undang," katanya.

Pada persidangan DUN Selangor hari ini, kerajaan negeri gagal meminda Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri yang kini terletak pada pertadbiran pusat.

Kontroversi mengenai isu ini timbul ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK yang baru berkuat-kuasa 1 Januari lalu tanpa melalui pengetahuan Menteri Besar.

Artikel Lain