suria

Peniaga Hidupan Liar Antarabangsa Diberi Kebenaran Merayu

PUTRAJAYA: Peniaga hidupan liar antarabangsa Anson Wong Keng Liang diberi kebenaran oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin untuk merayu terhadap hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atas beliau oleh Mahkamah Tinggi kerana dituduh mengeksport ular berbahaya, 'boa constrictor' tanpa permit.

Panel tiga orang terdiri daripada hakim-hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara memberi kebenaran itu.

Hakim Hasan juga mengeluarkan perintah agar pendengaran kes Wong dipercepatkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 November tahun lepas membuat keputusan menambah hukuman penjara peniaga berusia 52 tahun itu dari enam bulan ke lima tahun.

Selepas keputusan hari ini, peguam bagi Wong, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa beliau akan memfail notis rayuan dan memorandum hari ini.

Pada 6 September tahun lepas, Mahkamah Majistret Sepang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM190,000 ke atas Wong selepas beliau mengaku bersalah mengeksport secara tindak sah spesies terancam tanpa permit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.50 malam, 26 Ogos.

Wong berada di KLIA dalam transit dari Pulau Pinang ke Jakarta bila ular itu ditemui dalam beg pakaiannya.

Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Wong selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa agar dikenakan hukuman lebih berat.

Beliau bagaimanapun mengetepikan denda RM190,000 itu.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah silap menjatuhkan lima tahun penjara ke atas Wong kerana seseorang tertuduh yang mengaku bersalah dan merupakan pesalah pertama kali akan diberikan diskaun 1/3 atau 1/4.

Muhammad Shafee berkata penjara lima tahun yang dikenakan ke atas anak guamnya tidak pernah berlaku sebelumnya, dan menambah bahawa hakim telah bergantung pada faktor di luar perimeter fakta ketika beliau menjatuhkan hukuman itu. - BERNAMA

Artikel Lain