suria

Operasi Trafik Bukit Aman Kenakan 47 Saman Ke Atas Bas & Kenderaan Perdagangan

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Trafik Bukit Aman itu mengeluarkan 47 saman ke atas pemandu bas ekspress dan kenderaan perdagangan kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu operasi di Lebuhraya Sungai Buloh, arah Selatan awal pagi Sabtu.

Ketua Penguatkuasa kontinjen itu, Deputi Supritendan (DSP) Azmi Mansor berkata operasi hampir lima jam yang bermula dari pukul 11 malam tadi itu melibatkan empat pegawai dan 25 anggota.

Beliau berkata antara kesalahan yang direkodkan ialah kesalahan melebihi had laju 13 kes, tiada lesen memandu (12), tiada pemandu kedua bagi bas (enam), tiada isyarat kecemasan segi tiga (tiga), cukai jalan tamat tempoh (satu) dan lain-lain kesalahan.

"Kami dapati masih ada kelangan pemandu yang degil dan tidak mahu mematuhi had laju yang ditetapkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi.

Sementara itu dalam kes berasingan, 18 wanita asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran ditahan di sebuah pusat karaoke di Sunway Mentari, Sunway dekat sini lewat malam tadi.

Kesemua pelayan pelanggan (GRO) itu hanya berbikini ketika ditahan dalam serbuan yang dibuat oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Jurucakap pasukan itu berkata mereka terdiri daripada warga Vietnam, Indonesia serta China, dan polis percaya GRO ini diberi bayaran sehingga RM300 untuk setiap perkhidmatan seks.

"Polis turut menahan seorang wanita tempatan yang merupakan 'mami' yang berumur 54 tahun yang dipercayai menjaga kesemua GRO ini," katanya dan menambah semua wanita serta 25 pelanggan di pusat hiburan itu yang berumur antara 18 dan 30 tahun, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain