suria

Musim Artis Cakap Putar Belit

SEORANG wartawan hiburan yang baru memulakan tugasnya bercerita kepada Niezam pengalamannya menemu ramah seorang artis.

Kata wartawan itu, sebagai orang yang baru tengok wajah artis dari dekat, dia memang kagum.

Menurut wartawan itu lagi, selepas cerita mengenai artis berkenaan disiarkan, dia terkejut besar apabila artis yang dimaksudkan beberapa minggu kemudian membuat penafian mengenai cerita yang disiarkan itu kepada sebuah stesen televisyen.

Sebagai wartawan yang sudah dilatih dengan etika kewartawanan ketika menuntut di universiti, wartawan baru itu bertanya kepada Niezam kenapa masalah macam itu boleh berlaku?

Niezam tersenyum tanpa nak komen apa-apa sebaliknya Niezam memberi satu jawapan kepada dia dengan berkata, selepas enam bulan bekerja, dia akan berhadapan dengan banyak benda yang dia tidak pernah duga dalam hidupnya selama ini.

Niezam memberi jawapan itu supaya sebagai wartawan baru, dia dapat belajar macam mana untuk merasai pengalaman apabila berhadapan dengan artis yang bercakap putar belit.

Inilah masalah yang sedang melanda dunia hiburan pada hari ini apabila artis-artis kita bercakap tak serupa bikin tanpa mahu melihat kesan yang akan diterima mereka kelak.

Niezam ambil contoh mengenai seorang pelakon baru. Wartawan mStar Online pernah menyiarkan laporan kononnya dia bercinta. Dan dia dikatakan kurang senang dengan laporan itu. Dia juga menafikan bercinta.

Tak lama kemudian, menerusi rancangan Melodi, dia mengaku menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon.

Itu salah satu daripada beberapa contoh. Budaya bercakap tak serupa bikin atau cakap belit-belit – hari ini lain, esok lain merupakan satu sikap yang semakin menjadi-jadi.

Niezam cadangkan mana-mana individu yang nak jadi artis perlu mendapatkan kursus komunikasi terlebih dahulu bagaimana untuk belajar bercakap agar nampak bijak.

Artis-artis kita sebenarnya tidak semua yang bijak tetapi mereka hidup dalam dunia lakonan dan sentiasa berlakon untuk kelihatan hebat. Tapi kebanyakannya “hampeh” (tak semua).

Itu sebab jika ada artis yang menangis depan kita, usahlah mudah percaya. Niezam pernah berborak dengan seorang artis wanita menerusi telefon yang menangis teresak-esak apabila kisah cintanya dicungkil.

Tapi selepas dia meletakkan telefon itu, dia boleh ketawa terbahak-bahak kerana berjaya menangis kepada wartawan.

Tak kuasa

Hal itu dimaklumkan pula oleh teman sebiliknya yang tak kuasa melihat perangai buruk si artis yang hanya pandai berlakon itu.

Ia belum lagi apabila sesetengah artis yang kata nak bersara berlakon tapi tak jadi bersara. Nak berhenti menyanyi, tak jadi pula berhenti.

Fenomena buruk seperti ini sedang menular tanpa kita sedari dalam diri setiap artis. Niezam percaya, semakin ramai artis muncul, semakin banyaklah cerita putar belit yang akan keluar tidak lama lagi.

Niezam nak ingatkan, tahap pemikiran manusia pada hari ini sudah berbeza dengan corak menilai 20 tahun lalu. Manusia hari ini semakin bijak sealiran dengan kemajuan bidang teknologi.

Kepada artis-artis mereka seharusnya bijak untuk bercakap dan juga membuat keputusan. Kerana, setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut artis yang tidak bijak itu, akan menyerlahkan kelemahan masing-masing.

NIEZAM: Putar-putar, putar-putar kaki mengayuh...

Jadi pelakon hanya dengan RM30

NIEZAM hairan, dalam banyak-banyak kerjaya dalam dunia ini, ramai orang nak jadi pelakon, nak jadi penyanyi.

Mereka fikir dua kerjaya ini mendatangkan pulangan yang memuaskan. Boleh pakai kereta besar, ada rumah besar dan yang paling penting dapat keluar surat khabar dan TV.

Ini satu mentaliti yang harus dibuang jauh-jauh,. Tak semua orang seni itu bernasib baik. Yang kaya, mewah hanya boleh dikira dengan jari.

Yang menderita sebenarnya lebih ramai daripada yang mewah itu. Ingat satu perkara, ini Malaysia dan bukannya Hollywood atau Bollywood.

Niezam tercengang mendengar seorang pelakon baru memberitahu dia dibayar RM50 untuk bergelar pelakon. Wataknya tak banyak.

Hanya jadi “pak pacak” dengan menuturkan sebaris ayat.

Artis baru itu terpaksa menghabiskan masa dilokasi selama 11 jam iaitu dari pukul 9 pagi hingga 8 malam, hanya kerana RM50.

Niezam tanya, dari rumah dia ke lokasi naik apa? Dia kata naik teksi dengan bayaran RM40 pergi balik. Jadi, untuk tempoh 11 jam itu dia hanya dapat untung RM10.

Itu pun nasib baik syarikat produksi tersebut menyediakan makanan. Kalau tidak dia terpaksa beli sendiri makanan tengah hari, petang dan malam daripada wang RM10 itu tadi. Itulah nasib orang yang nak jadi pelakon.

Niezam bersimpati dengan nasib mereka yang nak jadi pelakon. Bayarannya “ciput” tetapi terpaksa membuang masa selama 11 jam itu sebenarnya tidak memadai.

Niezam mencadangkan sudah tiba masanya skim gaji pelakon diselaraskan melalui persatuan-persatuan filem.

Upah pelakon pada hari ini berbeza mengikut syarikat produksi yang menerbitkan drama atau pun filem. Semuanya bergantung kepada persetujuan produser dan pelakon itu sendiri.

Sebab itulah ada pelakon gred A akan menerima bayaran RM10,000 untuk sebuah drama tetapi ada juga yang hanya dapat RM8,000 sahaja.

Kepada pelakon tambahan, jumlah bayaran mereka akan menjadi bertambah sedikit apabila agensi-agensi pelakon tambahan turut memotong pendapatan mereka. Ada sesetengah tu pernah dapat RM30 sahaja gajinya.

Dengan ada bayaran pelakon yang selaras, dunia lakonan kita akan menjadi lebih eksklusif.

Ia secara tidak langsung akan mengelak pelakon-pelakon ini ditindas oleh sesetengah produser atau pun pengarah-pengarah filem yang cekik darah.

Persatuan-persatuan filem haruslah mengambil pendekatan tersebut supaya kerjaya sebagai pelakon ini dilihat lebih profesional dan tidak ada yang teraniaya.

Pada tahun 2011, mana ada orang kerja 11 jam dengan pendapatan RM50?

NIEZAM: Alamak? Seorang pelakon veteran ajak “anak ikan” (orang muda) melompat dalam disko.

Artikel Lain