suria

Muhyiddin: Tak Perlu Sentuh Hal Peribadi Calon Lawan

LABIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua parti komponen Barisan Nasional (BN) menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih besar dan utama sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang daripada memperkatakan perihal calon lawan.

Muhyiddin menegaskan isu peribadi calon lawan tidak perlu dipanjangkan kerana ada perkara lebih utama yang perlu dilakukan oleh BN pada kempen kali ini.

“BN tidak perlu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian atas sebab-sebab tertentu.

“Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan dia (Normala). Apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya pada sidang media selepas beramah-mesra dengan pengundi dan peniaga di Jalan Segamat-Labis di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu calon PAS, Normala Sudirman yang didakwa enggan bersalaman dengan pengundi lelaki ketika berkempen.

Perkara tersebut menjadi isu apabila pelbagai pihak mempersoalkan tindakan Normala dan melabelkan calon PAS itu sebagai calon yang tidak mesra dengan penduduk di DUN Tenang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan bahawa isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ada isu lain yang lebih penting perlu diketengahkan dalam kempen pilihan raya kali ini.

"Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini," katanya.

Ketika ditanya mengenai komen calon PAS yang mendakwa isu tersebut timbul disebabkan oleh kegagalan BN memberi pemahaman mengenai adab Islam khususnya wanita Muslim tidak boleh bersalam dengan lelaki yang bukan mahramnya, Muhyiddin berkata: "Tak payahlah kita komen macam-macam. Yang pentingnya, kita tumpu kepada perkara-perkara lain. Itu yang lebih utama".

Dalam perkembangan berkaitan isu Interlok, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh meminta semua pihak tidak mempolitikkan isu tersebut.

"Saya nak tanya di kalangan yang ada di sini, siapa yang baca Interlok? Saya baca... tak ada orang baca....Jadi saya nak jelaskan, kita sudah putuskan kita ada formula yang boleh menyelesaikan masalah itu.

"Tadi saya dengan perdana menteri berbincang, pasal sebab dalam semangat BN, kita nak berbicara dengan pihak MIC. Saya percaya formula kita akan dikemukakan nanti, kita akan bincangkan secara mendalam dalam sehari dua.

"Saya harap, apabila diputuskan nanti, perkara ini tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana apa yang penting semangat kerjasama dalam BN," katanya.

Muhyiddin berkata beliau optimis isu mengenai novel tersebut dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Artikel Lain