suria

Lokomotif Kereta Api Ekspres Senandung Wau Terbakar

PASIR MAS: Lokomotif Ekspres Senandung Wau, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa 10 gerabak dengan 600 penumpang, terbakar sejurus berlepas dari Stesen Wakaf Bharu, Tumpat, menuju ke Kuala Lumpur kira-kira 7.20 malam semalam.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB Mohd Fazil Ismail berkata perkhidmatan kereta api itu terpaksa dihentikan selama 2 jam 30 minit bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman dan penukaran lokomotif.

Tiada penumpang dilaporkan cedera dan tren terbabit tiba di ibu negara pada pukul 10.30 pagi ini manakala perjalanan lain ke semua destinasi membabitkan Stesen di Wakaf Bharu dan Pasir Mas beroperasi seperti biasa, katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata KTMB akan meneliti punca sebenar kebakaran itu dan laporan lengkap kejadian tersebut dijangka diketahui selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Nazri Ali berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.22 malam sebelum tujuh anggota serta sebuah jentera digegaskan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak ke gerabak lain.

Beliau berkata sebaik api dipadamkan, kereta api berkenaan digerakkan dengan enjin kedua untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur manakala gerabak enjin yang terbakar ditempatkan di Stesen Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

"Tindakan pantas pemandu tren yang memisahkan gerabak berjaya mengelakkan keadaan buruk daripada berlaku," katanya.

Kebakaran lokomotif itu juga menyebabkan Ekspres Senandung Timuran yang dijadualkan bertolak dari Stesen Pasir Mas ke Johor Bharu terlewat lebih satu jam.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Nik Shahin Nik Nasim, 28, berkata kereta api berkenaan disedari terbakar sebaik tiba di Kampung Slow Machang dekat Stesen Pasir Mas.

"Tren berhenti tiba-tiba, keadaan menjadi kelam kabut, saya buka pintu tengok kepala tren di bahagian depan terbakar.

"Ketika itu terdengar beberapa pekerja KTMB memberitahu kepala tren terbakar teruk. Saya sangat risau dan hanya mampu berdoa kebakaran itu tidak merebak," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata penumpang terkandas hampir satu jam sementara menanti bomba memadamkan kebakaran. - BERNAMA

Artikel Lain