suria

Lima Rumah Kedai Hangus Dalam Kebakaran Di Lebuh Pantau Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Lima rumah kedai yang terletak kira-kira 100 meter dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai di sini hangus dalam satu kebakaran awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Razam Taja Rahim berkata bomba pada mulanya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran pada kira-kira pukul 1 pagi itu disebabkan struktur binaan bangunan yang terlalu rapat dan kebanyakan unitnya terkunci semasa kejadian.

Beliau berkata cuaca panas, keadaan yang berangin dan struktur binaan bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dan merebak dengan pantas.

Bagaimanapun menurutnya tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke bangunan lain di sekitar kawasan berhampiran yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.

"Kami terpaksa menggunakan hos yang panjang kerana jentera bomba sukar dibawa berhampiran dengan kedai yang terbakar itu," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Razam berkata 163 anggota dengan 15 jentera bomba termasuk sukarelawan bombadari Lebuh Pantai, Bayan Baru, Jalan Perak, Paya Terubong, Bagan Jermal, Perai dan Bandar Perda bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul pukul 1.11 pagi, dan api berjaya dikawal kira-kira 45 minit kemudian.

Katanya api padam sepenuhnya pada kira-kira pukul 5 pagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain