KUANTAN: Seorang guru dan dua anaknya maut dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Km129.2 Jalan Kuantan-Segamat pada 3.30 petang ini. Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Supritendan (DSP) Johari Jahaya berkata mangsa yang terbunuh ialah Ramlan Mohamad, 42, dan dua anaknya Mohamad Aniq Mauqri, 5, serta Maria Adiliah, 2. Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Camry yang dipandu Ramlan dari arah Segamat telah memasuki laluan bertentangan. "Toyota Camry berkenaan telah bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dan sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan sebelum sebuah lori menghentam belakang Toyota Camry itu," katanya. Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat. - BERNAMA