suria

Edar Dadah: Polis Tahan Empat Individu Termasuk Sepasang Suami Isteri

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan dalam satu serbuan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Jalan Imbi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Asisten Komisioner (ACP) Kang Chez Chiang berkata dalam serbuan pada 10 malam 19 Jan lepas, polis turut menahan seorang lelaki warga Nigeria serta seorang wanita dan menemui dadah jenis syabu seberat 196 gram bernilai RM50,000.

"Dalam serbuan yang dilakukan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, tiga warga tempatan yang berusia 24 hingga 29 tahun ditahan ketika sedang menunggu Monorel di Jalan Imbi," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata lelaki warga Nigeria yang merupakan pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Gombak pula ditahan di Cheras setelah siasatan dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek berkenaan.

Kang berkata ketiga-tiga rakyat tempatan itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyimpan dadah dalam lampin pakai buang anak perempuan pasangan suami isteri tersebut yang berumur satu tahun dan memasukkan lampin itu dalam sebuah beg galas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan adalah pengedar dadah secara kecil-kecilan dan menerima bekalan daripada lelaki Nigeria itu.

"Ketika menahan lelaki Nigeria terbabit, polis merampas dadah dipercayai ganja seberat lima gram serta satu paket kecil syabu seberat 1.03 gram dan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah," katanya.

Beliau berkata keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula 21 Januari. - BERNAMA

Artikel Lain