suria

DUN Selangor: Pindaan Bagi Kekalkan Kuasa Sultan, Negeri

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pindaan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 adalah bagi menghalang pihak tertentu melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan.

Beliau berkata, pindaan perlembagaan yang dicadangkan kerajaan negeri itu penting sebagai perubahan supaya generasi akan tidak berada dalam 'kekaburan'.

"Ini kerana, tindakan (kerajaan) Persekutuan atas tiket Ketua Setiausaha Negara melantik Pegawai Eksekutif Ex-officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat dan berselindung pula di sebalik istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan rakyat dan kedaulatan negeri," katanya semasa mencadangkan pindaan perlembagaan pada persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Isnin.

Menurut Abdul Khalid, sidang tergempar DUN Selangor hari ini, bertujuan bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri yang kini terletak pada pertadbiran pusat.

Isu ini timbul ekoran bantahan kerajaan Selangor terhadap pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru berkuat-kuasa 1 Januari lalu tanpa melalui pengetahuannya.

Justeru Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok berkata pindaan Perlembagaan yang dibuat pada 1993 melibatkan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor begitu ganjil kerana tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik Pegawai Eksekutif.

Tambah beliau, sepatutnya dinyatakan dengan jelas kuasa tertentu sama ada sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam utusan perlantikan pegawai kerajaan negeri.

"Pakatan Rakyat ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

"Kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undand-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan Rakyat komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu ajen semak dan imbang dalam Perlembagaan," katanya.

Artikel Lain