Beg Udara Hanya Sesuai Dipasang Bagi Kereta Baru

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pemasangan beg udara hanya sesuai bagi kereta salon baru yang dikeluarkan di Malaysia pada tahun depan.

Katanya tidak seperti pemasangan tali pinggang keledar, pemasangan beg udara mestilah dibuat ketika kereta itu dibuat dan memasangnya di kereta lama adalah tidak praktikal.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya di sini hari sini sebagai menjelaskan laporan yang disiarkan oleh Bernama mengenai respon pengusaha pengangkutan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan langkah itu.

Kong berkata menurut penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (Miros), beg udara itu sesuai untuk kereta salon dan bukan kenderaan jenis lain seperti lori dan bas serta sesetengah pacuan empat roda kerana ketinggian, tempat duduk dan reka bentuk adalah berlainan.

Beliau berkata kajian Miros juga menunjukkan beg udara membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kemungkinan mengalami kecederaan serius dan kemalangan jalan dan tidak mengurangkan kadar kemalangan.

"Kita tidak dapat elak sebarang kemalangan kerana banyak sebab yang menyumbang pada punca kemalangan, tetapi apa yang kita boleh buat ialah untuk mengurangkan kecederaan dan kemungkinan menjadi sebab kematian," tambah beliau.

Kong berkata menurut dua pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua), lebih 50 peratus kereta yang dikeluarkan oleh dua syarikat itu telah dipasang dengan beg udara.

"Ia juga menunjukkan bahawa kereta yang dipasang dengan beg udara diterima dengan baik oleh pengguna," kata beliau sambil menambah bahawa pembuat kereta kini mengkaji untuk menyediakannya di semua kereta mereka.

"Harga kereta yang dipasang dengan beg udara adalah lebih mahal, tetapi kita perlu ingat bahawa keselamatan pengguna kereta adalah lebih penting dan nyawa yang tidak dapat dinilaikan.

"Pembuat juga berjanji untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan membantu kerajaan mengurangkan kadar kematian dan kecederaan dalam kemalangan jalan, mereka akan mengenakan bayaran minimum bagi keretanya yang dipasang dengan beg udara," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain