suria

Polis Terengganu Tahan 11 Disyaki Pengedar dan Penagih

KUALA TERENGGANU: Polis menahan 11 lelaki disyaki pengedar serta penagih dadah, dan merampas 40 gram heroin, 3,940 pil kuda serta dua kereta, yang semuanya dianggar bernilai RM156,624 dalam lima serbuan sejak Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintenden Roslan Abd Wahid berkata dalam serbuan pertama pada 4.30 petang Rabu lepas, polis menahan dua lelaki berumur 28 dan 19 tahun di sebuah rumah di Kampung Durian Kasim, Hulu Terengganu.

Katanya semasa hendak ditangkap, salah seorang lelaki itu didapati membuang satu bungkusan berwarna hitam ke lantai rumah, dan apabila diperiksa bungkusan itu didapati mengandungi 1,940 pil kuda yang dianggar bernilai RM67,900.

Dalam satu sidang media di sini, Ahad, beliau berkata susulan penangkapan dua lelaki yang berasal dari Kampung Durian Guling, Marang itu, polis menyita sebuah kereta jenis Proton Perdana bernilai RM26,000, barang kemas bernilai RM600, dan wang RM41,364 yang disyaki hasil mengedar dadah.

Menurutnya kedua-dua mereka ditahan reman selama seminggu sehingga Rabu ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Katanya dalam serbuan kedua pada hari yang sama, polis menahan seorang juru elektrik, 29, di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengadang Baru, Jalan Gelugor di sini pada 9.30 malam, dan merampas 2,000 pil khayal yang dianggar RM70,000.

Dalam serbuan dua hari kemudian, Roslan berkata polis menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di tepi Jalan Kampung Banggol Air Lilih, dan seorang lagi dalam sekatan jalan raya di Kampung Cina di sini.

Katanya ekoran penahanan suspek pertama berumur 57 tahun yang berasal dari Jalan Abdullah, Mersing, Johor itu, polis berjaya merampas 12 gram dadah disyaki heroin yang bernilai RM4,500, dan penahanan lelaki kedua berumur 27 tahun pula membawa kepada rampasan empat botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki heroin 14 gram yang dianggar bernilai RM6,000.

Dalam satu serbuan di sebuah pondok di Kampung Alor Jambu, Gong Badak di sini kira-kira pukul 3 pagi ini pula, polis menahan enam lelaki berumur antara 28 tahun dan 39 tahun yang disyaki pengedar dan penagih dadah.

Roslan berkata susulan tangkapan itu polis merampas empat botol yang disyaki mengandungi heroin seberat 14 gram yang dianggar bernilai RM6,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain