suria

Isu Salam Bukan Muhrim: Bukan Islam Faham - Normala

LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman menegaskan isu dia tidak menyambut huluran tangan pengundi Cina lelaki tidak harus dijadikan isu pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Perkara ini tidak sepatunya menjadi isu. Selepas 53 tahun kita merdeka saya lihat Barisan Nasional (BN) dan parti komponennya gagal memahami isu bagaimana adab bersalaman seorang wanita Muslim dengan orang lain.

"Sebagai seorang wanita Islam kami memang tidak bersalaman dengan seorang lelaki. Kalau dengan masyarakat Cina wanita memang tidak ada masalah,” katanya pada sidang media harian PAS di markas parti itu di sini pada Sabtu.

Perkara tersebut didakwa menjadi isu di kalangan pengundi Cina di Tenang kerana mereka mendakwa calon PAS itu tidak mesra dengan penduduk di kawasan tersebut.

Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala menegaskan bahawa jika lelaki tersebut bukan mahramnya maka tidak dibenarkan dalam Islam.

“Walau sesiapa pun hata kami saudara seIslam sekali pun saya tidak boleh bersalaman dengan lelaki Islam. Saya kira sepatutnya rakan-rakan komponen BN faham dengan budaya ini supaya ia difahami oleh masyarakat. Ia sepatutnya tidak lagi menjadi isu," katanya.

Jelasnya, beliau juga telah bersalam dengan pengundi Cina di pasar tani Labis pagi tadi tidak ada seorang pun golongan lelaki masyarakat Tionghwa menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.

“Tidak ada seorang pun kaum Tionghwa lelaki bersalaman dengan saya. Saya kira mereka sudah mula memahami kerana komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah memberi penjelasan mengenainya dalam sesi santai.

“Kami memang fleksibel tapi prinsip asas sebagai seorang Islam itu saya cukup jaga untuk mencari redha Allah. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Dr Zulkefly Ahmad menggesa media tidak menggunakan isu salam itu sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil kali ini.

“Tolong jangan jadikan isu salam sebagai perkara pokok pada kempen pilihan raya kecil ini.

“Saya minta sungguh-sungguh kerana kita punya isu yang lebih besar seperti kepentingan rakyat. Jangan sampai media hanya memainkan isu ini dan menutup isu lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah jentera pilihan raya PAS , Salahuddin Ayub mendakwa parti itu akan mendedahkan kepincangan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azhar Ibrahim dalam tempoh terdekat.

“Kita jangka dalam sehari dua lagi kita akan mendedahkan beberapa isu berkaitan calon BN sekaligus akan mengubah suasana dan suhu kempen Umno dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah isu peribadi calon akan didedahkan oleh PAS nanti, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen berkata: “Tak ada , kita tidak akan serang peribadi calon itu bukan prinsip kita. Apa isunya kita tunggu sehari dua lagi.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain