suria

Fahami Penderitaan Penduduk Palestin Untuk Terus Beri Sokongan - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu rakyat Malaysia sentiasa belajar dan memahami masalah penduduk Palestin untuk terus memberi sokongan sehingga akhirnya merealisasikan kewujudaan sebuah negara Palestin yang aman dan merdeka.

"Kita (rakyat Malaysia) perlu menyumbang apa yang termampu bagi membantu penduduk Gaza sehingga masalah ini diselesaikan," katanya ketika melancarkan Viva Palestina Malaysia (VPM) di sini malam Sabtu.

Beliau berkata sebagai contoh, penduduk Palestin amat memerlukan bekalan air dan makanan.

"Mereka sentiasa kekurangan bekalan (air dan makanan) dan bergantung kepada sikap prihatin masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan sebarang bentuk bantuan," katanya.

Dr Mahathir juga berharap rakyat Malaysia sentiasa mempunyai keyakinan yang teguh dan memahami impian perjuangan penduduk Gaza bagi memperoleh kehidupan lebih baik di negara sendiri yang berdaulat.

Beliau berkata serangan dan kekejaman membabitkan rejim Israel terhadap penduduk Palestin sepatutnya telah lama berakhir, jika tidak kerana sokongan kuat Amerika Syarikat dan Britain kepada Israel.

Bekas perdana menteri itu berkata kedua-dua negara kuasa besar berkenaan merupakan pejuang kuat hak asasi kemanusiaan dan perpaduan, namun menyokong pembunuhan kejam penduduk Gaza oleh rejim Zionis.

"Amerika yang bertindak sebagai polis dunia menyokong kuat kekejaman dan pembunuhan ini, yang mengakibatkan tragedi di Palestin, khususnya Gaza," katanya.

VPM, yang ditubuhkan pada kemuncak serangan Israel ke atas Gaza pada Disember 2008, merupakan gabungan NGO Malaysia yang merentasi kaum, agama dan fahaman politik.

Ia bertujuan mencari resolusi mapan, adil dan segera bagi menghentikan konflik di Palestin.

Pada Mei ini, VPM akan memulakan empat projek bagi membantu penduduk Palestin memperkasakan diri mereka dengan kerja-kerja perladangan, pertanian dan perniagaan bagi mendapatkan lebih sumber pendapatan untuk menyara hidup.

Projek itu meliputi pinjaman tanpa faedah, ladang untuk mengeluarkan daging dan susu, perniagaan kecil serta mempromosikan barangan warisan Palestin di luar negara itu.

Kesemua program berkenaan dianjurkan oleh beberapa persatuan kebajikan kemanusiaan di Gaza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain