suria

BN Perak Akan Perjelas Isu Perak Pada Kempen PRK Tenang

TAIPING: Barisan Nasional (BN) Perak akan berusaha mematah dan memberi penjelasan terhadap dakyah pembangkang yang memutar belit isu-isu Perak semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry, yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata petugas BN Perak yang akan membantu jentera pilihan raya BN pada pilihan raya kecil berkenaan akan memainkan peranan utama untuk mematahkan setiap dakyah pembangkang berhubung isu di negeri itu.

Fokus utama jentera BN Perak ialah untuk memberi penjelasan sebenar kepada pengundi pada pilihan raya kecil itu dan yang bakal diadakan di DUN Merlimau, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Tahfiz Al-Quran Nurul Iman di Batu Kurau dekat sini hari ini.

"Kadang-kadang pembangkang memainkan isu Perak yang orang Johor dan Melaka tidak tahu mengenainya. Oleh itu, kita bagi penjelasan sebenar dan perbetulkan putar belit pembangkang," katanya.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah antara pemimpin PAS yang berkempen di DUN Tenang dan telah membangkitkan isu 'rampasan kuasa' kerajaan negeri Perak oleh BN yang berlaku apabila tiga ADUN pakatan pembangkang meninggalkan kerajaan pimpinan beliau.

Mengenai pusat tahfiz al-Quran berkenaan, Zambry berkata kerajaan negeri menyumbangkan RM100,000 untuk pembinaannya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain