suria

Tiga Rumah Kedai Simpan Barangan Plastik

BUKIT MERTAJAM: Tiga rumah kedai yang dijadikan gudang menyimpan barangan plastik musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM1 juta di Kota Permai 1 di sini malam tadi.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 11.15 malam itu, tiga rumah kedai tiga tingkat yang turut menyimpan alat permainan kanak-kanak musnah dengan asap tebal dapat dilihat dari jarak 5 kilometer.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad berkata, 10 jentera bersama 61 anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 11.15 malam.

"Api merebak dengan pantas memandangkan gudang berkenaan sarat dengan bahan plastik yang mudah terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya menurut beberapa saksi, kebakaran itu bermula dari tingkat bawah rumah kedai berkenaan.

"Kita sudah mendapatkan beberapa maklumat serta keterangan daripada pemilik gudang dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan jumlah sebenar kerugian ekoran kejadian ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain