suria

Tiada Kejadian Tidak Diingini Semasa Pencalonan

LABIS: Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku semasa proses pencalonan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Majlis Daerah Labis di sini, Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, proses pencalonan itu berjalan lancar walaupun dengan kehadiran penyokong dari Barisan Nasional dan PAS yang dianggarkan lebih 20,000 orang.

"Cuma berlaku kejadian kecil iaitu penggunaan alat pembesar suara oleh penyokong salah sebuah parti dan mereka akur bila kita minta mereka tidak menggunakannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai permit untuk mengadakan ceramah, beliau berkata ia akan diluluskan berdasarkan faktor keselamatan.

Sekiranya ia tidak diluluskan oleh ketua polis daerah dalam tempoh 48 jam, pihak yang terlibat boleh merayu kepada beliau dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan kepada faktor keselamatan juga.

Beliau turut berharap unsur-unsur ekstremisme dari luar tidak dibawa sehingga akhir tempoh berkempen nanti kerana polis akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang terlibat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain