suria

PRK Tenang: Peluang PAS Menang 50-50 - Abdul Hadi

LABIS: PAS akui bukan mudah untuk parti itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 30 Januari ini.

Namun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu tidak mustahil untuk berlaku dengan syarat pengundi di kawasan tersebut mendapat maklumat yang tepat mengenai apa yang berlaku.

“Peluang kita 50 peratus, begitu juga BN, tidak mudah untuk kita menang tapi ia tidak mustahil.

“Kita letak 50 peratus dulu tapi kempen kita bergerak bermula dari 40 peratus, di Johor kita sudah menang dua kerusi. Jadi peluang untuk menang memang ada.

“Malah perubahan besar sudah berlaku di Johor, BN juga hadapi masalah malah kedudukan Umno juga tidak kuat,” kata beliau ketika ditemui di proses penamaan calon DUN Tenang di pejabat Majlis Daerah Labis di sini pada Sabtu.

PAS meletakkan Ketua Muslimat PAS Labis, Normala, 38, yang juga bekas guru manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 39.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pengundi muda di DUN Tenang merupakan penentu kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan itu.

“Pengundi muda yang banyak menggunakan media baru, mereka boleh mendapatkan maklumat yang tepat.

“Bagi saya pengundi muda adalah undi penentu, di sini BN tiada undi Orang Asli, malah undi warga Felda juga sudah memihak kepada kita.

“BN tiada undi deposit di sini, kita mempunyai peluang kerana meletakkan calon tempatan bukan BN yang meletakkan calon yang sudah lama meninggalkan kawasan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa pula melahirkan kenyakinan calon wanita mereka mampu memberikan saingan yang hebat kepada calon BN pada pilihan raya kecil di DUN Tenang.

“Normala telah banyak menabur jasa kepada rakyat tempatan kerana peranan beliau sebagai guru dan aktiviti kemasyarakatan di sini. Saya lihat ini satu faktor yang membolehkan kita memberikan kekangan yang hebat kepada calon BN.

“Kita masuk dalam mana-mana pilihan raya adalah untuk menang termasuk di DUN Tenang,” katanya.

Beliau menegaskan bukan satu perkara yang pelik untuk PAS menang di DUN Tenang kerana mereka telah menang dua kerusi DUN di Johor pada pilihan raya umum 2008 yang lalu.

“Pendekatan kita adalah turun kepada rakyat dan mengadakan pertemuan bersemuka dengan pengundi bagi memberitahu mereka apa yang mampu kita tawarkan kepada mereka.

“Kita juga akan menunjukkan rekod Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri kita yang mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik tidak kira sama ada di negeri yang diperintah oleh kita mahupun BN sendiri,” katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang menyaksikan saingan dua penjuru apabila PAS meletakkan, Ketua Muslimat PAS kawasan Labis, Normala Sudirman, 38, bekas guru sementara BN diwakili Mohd Azhar Ibrahim, 39, bekas Penolong Pegawai Daerah Rengit.

Kerusi kawasan itu mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas..

Artikel Sebelum

Artikel Lain