suria

Lebih 1,900 Mangsa Pemerdagangan Diselamatkan Antara 2008-2010

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,930 mangsa kes pemerdagangan orang daripada 20 buah negara telah berjaya diselamatkan oleh pihak penguatkuasa tempatan sejak 2008 hingga Disember tahun lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, daripada jumlah itu, 708 orang telah dikenal pasti sebagai mangsa sebenar dan diberikan perintah perlindungan dan selebihnya diserahkan ke kedutaan masing-masing untuk tindakan lanjut.

Selain itu, 434 orang pula telah ditangkap berkaitan dengan kes tersebut dan pertuduhan telah dibuat terhadap mereka oleh Jabatan Peguam Negara, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Antipemerdagangan Orang anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, Sabtu.

"Statistik ini sudah cukup memuaskan hati berbanding negara-negara lain yang turut menguatkuasakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan penyeludupan Migran yang sama," katanya.

Raja Azhar berkata, walau bagaimanapun kesedaran orang ramai mengenai kesalahan memperdagangkan manusia masih di tahap kurang memuaskan kerana masih ramai yang tidak bekerjasama dengan pihak penguatkuasa tempatan dalam menangani masalah tersebut.

Justeru itu, beliau menasihatkan agar orang ramai yang curiga mengenai pergerakan kumpulan-kumpulan tertentu agar terus menghubungi talian 999 yang telah diwujudkan kerajaan bagi menyalurkan apa sahaja maklumat mengenai mereka yang melanggar peraturan negara.

Raja Azhar berkata, aktiviti-aktiviti kesedaran mengenai isu itu juga akan terus dijalankan oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.

"Terbaru NCWO sedang dalam perbincangan bagi mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelajaran dan guru-guru besar sekolah supaya satu sesi penerangan singkat megenai isu pemerdagangan orang dapat dibuat di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, kemungkinan pada perhimpunan pagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain