suria

Kerajaan Tidak Pernah Persoal Kesetiaan Guru - Muhyiddin

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu berkata, kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan guru-guru di negara ini kepada kerajaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun guru sebagai seorang pemimpin perlu sentiasa mempunyai sikap kebersamaan kepada kerajaan supaya dapat menjayakan agenda pembangunan negara terutamanya Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan.

"Kita tidak akan mempersoalkan. Selain dari setia kepada negara, elok juga kita setia kepada kerajaan.

"Sebab guru merupakan penggerak utama dalam masyarakat, masih dihormati, diberi penilaian yang tinggi. Guru jadi pemimpin dalam masyarakat, maka kita mahukan supaya sikap untuk kebersamaan antara kerajaan dan tenaga yang penting seperti guru selalu ada di situ," katanya.

Muhyiddin berkata, demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN) peringkat Johor, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran.

B-GUN merupakan program bersepadu yang terancang bagi mengangkat martabat guru untuk membangkitkan profesionalisme, jati diri dan peranan guru bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.

Muhyiddin berkata, dalam menjayakan empat NKRA dalam bidang pendidikan, guru mesti sentiasa bertanggungjawab bagi memastikan kesemua NKRA berkenaan dapat dicapai.

"Seperti yang diketahui umum, usaha kita (NKRA dalam bidang pendidikan) sebenarnya sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan walaupun baru setahun dilaksanakan dengan kejayaan yang hampir mencapai 100 peratus," katanya.

Muhyiddin berkata, kadar kanak-kanak yang berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi (linus) pada tahun lepas bertambah baik berbanding tahun sebelumnya walaupun pelaksanaannya masih di peringkat awal.

"Di peringkat awal program linus dilaksanakan, ramai ibu bapa yang tidak memahami program ini dan risau. Tetapi, sekarang ini kita menerima maklum balas yang baik dengan ada yang mengatakan anak-anak mereka sudah pandai membaca," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain