suria

DAP Dakwa Pilihan Raya Serentak Untungkan BN

KUCHING: Pilihan raya Parlimen dan negeri yang diadakan serentak akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak daripada segi berkempen, kata seorang pemimpin pembangkang pada Sabtu.

Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata pilihan raya serentak akan memberi kesan tidak baik kepada parti pembangkang di negeri ini kerana ia akan mengehadkan penggunaan sumber yang mereka miliki.

"Ini adalah suatu helah untuk memastikan sumber pakatan pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak sampai ke Sarawak," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Wong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek dan Anggota Parlimen Sibu, berkata sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud melaksanakan idea itu, para pengundi di Sarawak akan menjadi keliru.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How berkata parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, manakala Ketua Wanita PKR negeri Nurhanim Mokshen pula berkata pilihan raya Parlimen dan negeri yang diadakan serentak, tidak banyak memberi kesan kepada parti pembangkang.

Taib dipetik sebagai berkata beliau akan berbincang dengan Najib tentang kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen secara serentak.

Dalam reaksi segera beliau semalam, Perdana Menteri berkata kemungkinan pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan serentak tidak boleh diketepikan.

Kali terakhir pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan secara serentak di Sarawak ialah pada 1974. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain