suria

Seorang Lelaki Cedera Ditembak Dan Disamun

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja kehilangan barang berharga apabila rumahnya di Jalan 2/9 Taman Garing Utama, Rawang disamun sekumpulan lelaki pagi Jumaat, lebih malang lagi tuan rumah cedera di lutut kiri akibat ditembak anggota kumpulan itu.

Dalam insiden kira-kira pukul 7.45 pagi itu, empat lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna keperakan menyerbu masuk ke rumah mangsa P. Murugaiyah, 65, yang ketika itu berada di dalam rumah bersama isterinya.

Sebaik sahaja memasuki rumah berkenaan, dua daripada empat lelaki itu yang bertopeng dan bersenjatakan pistol melepaskan tembakan dan mengenai lutut kiri mangsa.

Kumpulan lelaki itu kemudiannya menyelongkar rumah mangsa dan bertindak melarikan barang berharga seperti dua utas rantai emas, satu gelang tangan, sepasang anting-anting, satu telefon bimbit dan sejumlah wang tunai menggunakan kereta Proton Waja dengan seorang lagi anggota kumpulan itu bersedia menunggu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu seorang saksi yang terlihat kejadian itu, sempat memecahkan cermin hadapan kereta suspek ketika cuba memecut meninggalkan tempat kejadian.

Abdul Rahim berkata hasil siasatan ke atas nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia adalah palsu.

"Polis turut menemui kesan cap jari di tempat kejadian," katanya.

Murugaiyah kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan stabil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain