suria

Polis Rampas 94 Cek Bernilai RM1.6 Juta Di Premis Ah Long

GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Seberang Jaya dekat sini yang disyaki menjalankan aktiviti ah long dan merampas 94 keping cek bernilai kira-kira RM1.6 juta, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam serbuan pada pukul 5 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan merampas wang tunai sebanyak RM2,781.

"Siasatan awal mendapati sindiket pemberi pinjaman wang secara haram itu menjalankan kegiatan mereka di rumah terbabit dengan memberikan pinjaman antara RM1,000 hingga RM300,000," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata dalam operasi 'Ops Vulture' itu, polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya beberapa komputer riba, alat pencetak, telefon bimbit, salinan kad pengenalan peminjam, buku catatan dan beberapa fail yang mengandungi maklumat peminjam.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis menahan tiga lelaki Myanmar dan merampas 3,711 keping VCD dan DVD filem Myanmar bernilai RM50,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses DVD di Bukit Mertajam dekat sini Rabu lepas.

"Semasa serbuan tiga lelaki yang telah tamat tempoh visa yang berusia 20 hingga 35 tahun itu sedang memproses DVD dalam rumah dua tingkat itu untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk televisyen, pembesar suara, pencetak DVD, papan kekunci, botol dakwat, 5,000 keping poster VCD dan DVD filem Mynmar.

Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lepas, katanya.

Dalam kejadian berasingan, Abdul Rahim berkata seorang lelaki berusia 23 tahun disamun dan dipukul sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di kawasan tempat letak kereta flat Sungai Pinang, di sini kira-kira pukul 4.30 pagi ini.

"Kumpulan lelaki terbabit melarikan wang tunai RM3,000, seutas rantai emas dan sebuah kereta Proton Waja selepas memukul mangsa," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dalam masa 30 minit selepas kejadian di kawasan perumahan di Jelutong di sini dan menemui semula beg dokumen serta kereta, bagaimanapun wang tunai tidak dapat dikesan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain