suria

PBS Tolak Cadangan Sistem Undi Proksi, Kata Pairin

TAWAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memperkenalkan sistem undi proksi bagi membolehkan pengundi berdaftar yang tidak dapat hadir mengundi, diwakili seseorang yang layak.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sistem berkenaan bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dan jika dilaksanakan akan menimbulkan perdebatan tidak berkesudahan mengenai kredibiliti SPR sendiri.

"Kita selalu diingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, hak mengundi kita sebagai pengundi berdaftar untuk menentukan satu-satu kerajaan adalah hak kita yang amat penting. Jadi cadangan membolehkan seseorang mengundi untuk pihak orang lain bercanggah sama sekali dengan sistem demokrasi.

"Bagi saya ini (sistem proksi) akan lebih mengelirukan lagi dan akan menjadi satu perkara yang tidak meningkatkan kepercayaan terhadap sistem demokrasi kita dan sebab itu saya harap cadangan ini tidak diadakan," katanya.

Pairin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan 'marketwalk' di Pasar Tanjung dekat sini bagi mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada masyarakat peniaga dan pengunjung di pasar berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SPR yang mahu mengkaji kemungkinan mewujudkan sistem undi proksi bagi membolehkan seorang pengundi yang tidak dapat hadir mengundi, diwakili seseorang yang layak.

Pada Khamis Timbalan Presiden Parti Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Bumburing turut menolak cadangan berkenaan dengan menganggapnya sebagai pendekatan tidak masuk akal.

Pairin berkata walau apapun mekanisme yang difikirkan SPR bagi membolehkan sistem undi proksi dilaksanakan, ia tetap tidak praktikal kerana Amerika Syarikat yang mengamalkan sistem pengudian elektronik pun berhadapan dengan banyak masalah.

"Apa lagi jika seseorang itu boleh mewakili bukan seorang, bukan dua orang, bukan lima orang tetapi sampai 100 orang. Jadi ini bagaimana? Ini semua melanggar sistem demokrasi kita. Jadi saya fikir ini akan menimbulkan banyak masalah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain