suria

Muhyiddin Bidas Bekas Menteri Besar Perak, Nizar

LABIS: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin tidak mempunyai hak di sisi agama untuk mengatakan bahawa mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang adalah haram, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat mempunyai hak untuk membuat keputusan bagi mengundi mana-mana parti pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

"Dia sudah banyak keluarkan fatwa, dulu kata haram wanita bertanding tetapi sekarang telan balik. Tak tahu fatwa atau asas agama apa yang dia gunakan. Ini adalah hak untuk rakyat membuat keputusan.

"Ini bukan hak Nizar untuk mengatakan haram. Siapakah dia hendak jatuhkan hukum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah pembinaan bangunan tambahan Sekolah Agama Labis di sini, Jumaat.

Mohd Nizar dalam kempen ceramahnya di Kampung Ayer Panas, Labis baru-baru ini mengatakan, mengundi untuk calon Umno adalah haram di sisi agama tetapi sebaliknya wajib menyokong calon PAS, Normala Sudirman.

Beliau berkata, pengundi Islam adalah wajib di sisi agama untuk menyokong calon PAS.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada 30 Jan ini berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Sulaiman Taha akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember lepas.

Proses penamaan calon akan diadakan esok.

Mengenai novel Interlok, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau akan menjelaskan kepada kabinet tidak lama lagi hasil perbincangan di antara jawatankuasa kementeriannya dengan MIC.

Pada asasnya menurut beliau, novel oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussin adalah baik dengan ia menyeru kepada perpaduan selaras dengan Gagasan 1Malaysia, cuma ada kebimbangan tentang penggunaan beberapa perkataan yang digunakan.

"Penulis tiada niat untuk menghina atau memperkecil kaum. Kabinet akan meminta supaya kementerian berbincang dengan MIC dan bagaimana untuk mengatasi seperti menyediakan glossari, nota kaki atau panduan kepada guru," katanya.

Kementerian akan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan berkenaan isu novel itu, kata Timbalan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain