suria

Malaysia Diperakui Negara Islam Contoh, Kata Muhyiddin

LABIS: Malaysia diperakui sebagai sebuah negara Islam contoh oleh negara-negara luar serta pemimpin mereka seperti Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemajuan ekonomi dan kestabilan politik yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini hasil keberkesanan pemerintahan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

"Ketika saya melawat Amerika Syarikat baru-baru ini, Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton sendiri menyatakan kekaguman di atas pencapaian Malaysia dari segi keberkesanan kerajaan, demokrasi yang segar dan pertumbuhan ekonomi yang pesat," katanya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata demikian pada majlis ramah mesra dengan penduduk Kampung Tenang, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Tenang, di sini, Jumaat.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Perakuan itu, kata beliau sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan pimpinan BN tidak berkesan dalam melaksanakan dasar-dasar untuk membantu dan meningkatkan kedudukan ekonomi rakyat.

"Jika ada pihak-pihak yang datang dan cerita perkara karut-marut, saya minta penduduk kampung jangan percaya," kata beliau.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan diadakan pada 30 Januari ini berikutan kematian penyandangnya, allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. Proses penamaan calon pula akan diadakan esok.

Pada majlis sama yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Tenang Mohd Azahar Ibrahim, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk memperbaiki kemudahan infrastruktur masjid.

Peruntukan yang diluluskan berikutan permohonan daripada jawatankuasa masjid jamek itu termasuk untuk memperbaiki kemudahan tandas dan menurap jalan di sekitar tadika yang terletak dalam kawasan masjid. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain