suria

Kakitangan HSNZ Lemas Ketika Berkelah

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini mati lemas, manakala seorang lagi nyaris mengalami nasib yang sama ketika mandi di kawasan perkelahan Belukar Bukit, Kuala Berang pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Supritendan (DSP) Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata kejadian berlaku antara 11 pagi hingga 11.45 pagi ketika mangsa, Mohd Alif Mahade, 23, berkelah bersama sekumpulan rakan sekerjanya sempena cuti hujung minggu.

"Mangsa sebelum itu dilaporkan bersama 10 lagi kakitangan HSNZ telah pergi ke tempat itu untuk berkelah, dan semasa mandi, mangsa dikatakan telah terjun dari atas batu lalu terus tenggelam kerana tidak pandai berenang.

"Melihat kejadian itu, seorang rakannya, Mohd Helmi Hassan, 24, cuba menolongnya dengan terjun ke dalam sungai tersebut, namun Mohd Alif dilaporkan memaut rakannya itu terlalu kuat, menyebabkan Mohd Helmi juga nyaris lemas," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata Mohd Helmi berjaya berenang ke tepi, bagaimanapun, Mohd Alif gagal diselamatkan dan lemas.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai juru X-ray, dijumpai tidak lama selepas itu dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat, katanya.

Mohd Helmi juga dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain