suria

Jurulatih Yoga Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rogol

SHAH ALAM: Seorang jurulatih yoga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun.

Abdul Malik Abdullah, 55, didakwa merogol mangsa pada pukul 8 malam, Februari lalu di Kampung Dato Harun, Hulu Selangor, dekat sini.

Dia juga didakwa mengulangi perbuatan itu terhadap mangsa yang merupakan pelajarnya selama setahun pada 10 November lalu, antara pukul 5 dan 6 petang di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor.

Bagi kesalahan itu, lelaki bertubuh tinggi dan kurus itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim yang tidak menawarkan jaminan terhadapnya.

“Saya mohon dibenarkan untuk dijamin. Saya tidak sihat dan menjaga enam orang anak angkat,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Latifah Mohd Tahar tidak membenarkan jaminan diberikan ke atas tertuduh selepas mempertimbangkan faktor bahawa dia tinggal berhampiran dengan mangsa.

Beliau juga menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Terdahulu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru atas tuduhan memiliki 2.70 gram syabu.

Dia yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 dan kes akan disebut pada 22 Februari depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain