suria

Dua Mangsa Rugi RM20,000 Selepas Mendapat Panggilan Dari 'Bank Negara'

GEORGE TOWN: Dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita, kehilangan wang dalam akaun bank berjumlah RM20,000 akibat terpedaya dengan panggilan dari "Bank Negara".

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner (ACP) Roslee Chik dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, berkata kedua-dua kes melibatkan taktik serupa.

Beliau berkata, dalam kes pertama, mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun menerima panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai "Allen" kononnya dari Bank Negara dan memberitahu bahawa mangsa berhutang kad kredit sebanyak RM9,380.

"Mangsa yang berkerja sebagai wireman dan tinggal di Bukit Mertajam itu percaya dengan kata-kata lelaki berkenaan dan memberikan kesemua butiran diri, kad kredit serta akaun bank bagi menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

Roslee berkata, tidak lama kemudian mangsa memeriksa akaunnya di bank dan terkejut bila mendapati wang sebanyak RM15,000 telah dikeluarkan.

Katanya mangsa kedua seorang guru wanita berusia 31 tahun turut dihubungi lelaki yang juga memperkenalkan diri sebagai 'Allen' yang menggunakan taktik yang sama.

"Mangsa yang tinggal di Taman Desa Murni, Sungai Dua memberikan kesemua butiran diri, kad kredit dan akaun bank bagi menyelesaikan tunggakan kad kreditnya," katanya.

Mangsa sedar dia telah ditipu setelah mendapati RM4,999 hilang dari akaunnya.

Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya pergi terus ke bank bila menerima panggilan seumpama itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain