suria

Cubaan Seludup Masuk Pelbagai Jenis Ubatan Ke Tawau Gagal

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis ubat-ubatan, dipercayai untuk pasaran di bandar ini dan daerah sekitarnya, Khamis.

Ketua Penguat kuasa Maritim Tawau Leftenan (Maritim) Norihan Ngah berkata barangan itu dirampas daripada sebuah bot jongkong yang dalam perjalanan dari Sungai Kuning, Pulau Sebatik selepas dipintas kira-kira 9.45 malam.

"Sebuah bot jongkong mencurigakan dikesan memasuki perairan Sebatik, Malaysia dengan nombor pendaftaran TW1228/6/C bersama muatan dua guni penuh berisi ubat-ubatan terdiri daripada 'Jamu Sehat Badan' lebih kurang 6,300 paket.

"(Guni berkenaan) juga mengandungi 9,000 biji pil Dexamethasone 0.75 mg, 9,000 biji pil Dexamethasone 0.5 mg, 9,000 biji pil Cyprohptadine HCL 4 mg dan 48,000 biji pil Menthasone," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata ubat-ubatan yang dihasilkan di negara jiran itu, selain tidak mempunyai tanda halal, juga tidak mempunyai dokumen pengesahan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, bot jongkong dan tekong warga Indoneisa berumur lingkungan 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melanggar peraturan Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Norihan berkata ia merupakan kes tangkapan pertama seumpamanya oleh APMM Tawau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Merlimau Meninggal Dunia

Artikel Lain