UPP Rampas 3,000Kg Minyak Masak Cuba Diseludup Ke Thailand - Semasa | mStar

UPP Rampas 3,000Kg Minyak Masak Cuba Diseludup Ke Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Taktik seorang lelaki rakyat Thailand bagi memperdayakan pihak berkuasa dengan mengisytiharkan 3,000 kilogram minyak makan sebagai minyak masak terpakai gagal dengan kecekapan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah di sini.

Komandernya, Mohd Jasri Othman berkata, dalam kejadian pada 4.30 petang tadi, anggota UPP ragu-ragu walaupun lelaki berusia 30-an itu mengisytiharkan dalam borang kastam sebagai minyak masak terpakai di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.

"Mereka menahan lelaki itu di ICQ dan mengambil sampel minyak makan yang diisi di dalam beg plastik. Setelah diuji ia disahkan minyak masak yang belum digunakan lalu menahan beliau bersama kenderaan pick-upnya," kata Mohd Jasri kepada Bernama di sini.

Tinjauan di Pekan Danok di sebelah Bukit Kayu Hitam hari ini mendapati, satu paket satu kilogram minyak masak Malaysia yang diseludup ke negara jiran itu dijual RM5 berbanding RM2.50 di negara ini.

Dalam satu kes lain UPP memberkas seorang lelaki rakyat Thailand berusia 20-an bersama sembilan kilogram daun ketum di ICQ tersebut tidak lama selepas kes pertama.

Menurut Mohd Jasri, lelaki itu yang memandu kenderaan yang didaftarkan di Malaysia, ditahan selepas anggotanya menemui daun ketum di dalam beg plastik hitam di dalam but kenderaan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain