suria

Tiga Kereta Terbakar Pada Malam Thaipusam

GEORGE TOWN: Tiga pemilik kereta yang sibuk meraikan sambutan perayaan Thaipusam di kuil -kuil Jalan Kebun Bunga malam tadi, terpaksa menanggung kerugian apabila kenderaan mereka terbakar.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Roslan Hasnan berkata kejadian berlaku kira-kira 11.40 malam di sebuah padang berhampiran Jalan Nunn, yang dijadikan tempat meletak kereta sementara.

Menurutnya kebakaran dipercayai bermula dari bawah sebuah kereta sebelum merebak ke dua buah kereta yang berada berhampiran.

"Ketiga-tiga kereta itu hangus terbakar dalam kebakaran itu, namun akibat tindakan pantas anggota telah berjaya mengawal api dari terus merebak ke kenderaan lain yang meletakkan kereta di tempat itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Katanya pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.55 malam, namun keadaan jalan yang agak sesak, menyukarkan pihak bomba untuk tiba di tempat kejadian.

Roslan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Katanya pihak beliau sedang menyusun strategi untuk mengelak dari kesesakan lalu lintas sempena perayaan Thaipusam supaya dapat sampai di tempat kejadian dengan lebih cepat. - BERNAMA

Artikel Lain