suria

Mohd Azahar Sesuai Mewakili BN Pada Pilihan Raya Kecil Tenang - PM

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Mohd Azahar Ibrahim, 39, merupakan calon yang amat sesuai untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang pada 30 Januari ini.

Katanya Mohd Azahar mempunyai beberapa kelebihan seperti kelulusan yang baik dan mempunyai pengalaman sebagai penolong pegawai daerah, yang membolehkannya memahami segala keperluan dari segi pentadbiran.

"Beliau ada hubungan baik dengan pegawai-pegawai lain, terutama di kalangan perkhidmatan awam Johor (JCS). Insya-Allah bila beliau jadi wakil rakyat mudah berurusan bagi pihak pengundi dengan kerajaan sebab beliau kenal secara peribadi dengan pentadbir JCS yang lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan BN dan Umno negeri Kedah di sini, Khamis.

Najib berkata beliau juga melihat latar belakang Mohd Azahar yang datang daripada keluarga yang besar dan lama di kawasan itu sebagai satu kelebihan kepada BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Arwah bapa dia dulu ketua bahagian. Bapa saudara dia naib ketua bahagian," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mohd Azahar sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN pada 17 Disember tahun lepas. Penamaan calon pada Sabtu ini.

Mohd Azahar, yang dilahirkan di Labis dan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Tenang, allahyarham Ibrahim Daud, bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan belia tempatan.

PAS telahpun menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 39, sebagai calonnya.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.

Tenang mempunyai 14,753 pengundi berdaftar terdiri 7,014 Melayu, 5,766 Cina, 1,780 India dan selebihnya kaum lain.

Beliau juga mengulas mengenai tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang sebagai kosong berikutan kegagalan penyandangnya Badrul Hisham Abdullah menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah semalam.

Najib berkata BN kena menyemak semula undang-undang dan fakta berkaitan perkara itu.

"Ada percanggahan kenyataan antara speaker dan wakil rakyat berkenaan. Biarlah BN kaji dulu fakta sebelum buat keputusan," katanya.

Teng dalam sidang medianya semalam berkata kekosongan kerusi itu berkuatkuasa 16 Januari.

Badrul Hisham dalam kenyataannya pula semalam menafikan dakwaan beliau gagal hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri selama enam bulan tanpa alasan munasabah sebaliknya menegaskan telah memberikan surat cuti sakit.

Katanya beliau hanya tidak menghadirkan diri ketika sidang DUN bulan November lepas ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

Badrul Hisham, yang memenangi kerusi itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat, telah keluar daripada parti itu pada 29 Oktober 2009. - BERNAMA

Artikel Lain