suria

KDN Akan Gerakkan Gelombang Kesukarelaan Lebih Besar

ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berusaha menggerakkan gelombang kesukarelaan yang lebih besar untuk menyertai Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di seluruh negara bagi menyokong dan membantu tugas warga kerja kementerian itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, ia perlu dilakukan secara konsisten dan menyeluruh bagi manarik lebih ramai anggota baru yang boleh melonjakkan lagi jumlah anggota Rela di seluruh negara.

"Ini kerana jumlah anggota yang ramai dapat menggambarkan sokongan serta minat orang ramai untuk bersama-sama menggerakkan gelombang kesukarelaan, sekaligus perlu dimantapkan supaya menjadi aset bernilai kepada negara.

"Oleh itu pertubuhan itu perlu memperbanyakkan lagi program latihan bagi melahirkan modal insan yang benar-benar terlatih, berkualiti dan mampu menjalankan tugas dengan profesional," katanya pada majlis pelancaran platun Cina dan kempen penambahan anggota Rela peringkat negeri Kedah di sini, Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni dan Pengerusi MCA Kedah, Chong Itt Chew.

Lee berkata, beliau mahu anggota Rela meningkatkan peranan agar menjadi pasukan kesukarelaan rakyat di barisan paling hadapan untuk keselamatan dan kemasyarakatan bukan sahaja dalam negara tetapi mempunyai peranan di peringkat antarabangsa.

"Kita perlu berfikir secara positif dan perlu melihat ke luar kotak untuk mencari pendekatan baru dan releven sejajar dengan perkembangan semasa agar usaha kita memberi impak yang berpanjangan kepada masyarakat," katanya.

Justeru anggota Rela tidak seharusnya leka dan sentiasa mahu berada di zon selesa hingga takut untuk menerokai dan memperkenalkan idea atau pendekatan baru dalam tugas harian. - BERNAMA

Artikel Lain