suria

Kakitangan TNB Maut Terkena Renjatan Elektrik

ALOR SETAR: Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba membaiki peralatan elektrik dipercayai set karaoke di rumahnya di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar di sini petang Selasa.

Kejadian yang menimpa Mohamad Shamir Sahid Abdullah, 26, disedari bapanya, Sahid Abdullah Ismail, 62, yang kebetulan naik untuk menjenguk mangsa di bilik anaknya di tingkat atas.

"Selepas makan tengah hari pakcik nampak dia naik bilik...pukul 3.30 petang saya naik ke biliknya dan mendapati dia terbaring atas katil dalam keadaan tidak bernyawa lagi," kata Sahid Abdullah kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.

Anak kedua daripada lima beradik itu baru sahaja ditukarkan ke TNB Mergong sejak enam bulan lalu setelah berkhidmat di TNB Shah Alam selama empat tahun dan sedang cuti sakit selama dua hari pada Isnin dan Selasa.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Jalan Datuk Kumbar dekat sini kira-kira 11 pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Baharom Ali mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

"Terdapat beberapa kesan lecur pada bahagian tangan dan badan mangsa akibat renjatan elektrik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain