suria

Badrul Hisham Rancang Ke Mahkamah Pertahan Kerusi Pelabuhan Klang

SHAH ALAM: Badrul Hisham Abdullah berkata beliau akan menggunakan saluran undang-undang bagi mempertahankan kedudukannya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim mengisytihar kerusi DUN itu sebagai kosong ekoran kegagalan beliau menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham berkata beliau akan memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau masih lagi wakil rakyat Pelabuhan Klang yang sah.

Beliau yang ditemui selepas perjumpaan dengan wakil-wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno/BN Negeri Datuk Seri Noh Omar di sini hari ini berkata permohonan itu akan difailkan secepat mungkin.

Beliau seterusnya mengesahkan akan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Isnin ini, dan menurutnya beliau belum menerima surat rasmi mengenai pengosongan kerusinya daripada pihak Dewan Undangan Negeri.

Semalam Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

Badrul memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihanraya Umum 2008 dengan majoriti 4,407 undi menewaskan calon BN serta calon bebas, sebelum meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun bebas mesra BN pada 2009, dan menyertai Umno pada Mei tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain