suria

Mangsa Banjir Di Kelantan Mula Terima Bantuan Kerajaan Pusat

KOTA BARU: Kerajaan Pusat mula memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dengan kumpulan pertama seramai 99 orang menerimanya hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, pada satu majlis ringkas di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Mulung di sini.

Kira-kira 1,000 keluarga menjadi mangsa banjir di Kelantan yang membabitkan Jajahan Pasir Mas, Tumpat, Machang, Pasir Puteh, Bachok, Kota Baru dan Gua Musang.

Mohamed Nazri berkata, setiap keluarga diberi sumbangan wang ehsan sebanyak RM500 bagi menampung sebahagian kerugian yang ditanggung mereka akibat bencana alam itu.

"Sebenarnya kerugian yang dialami oleh tuan-tuan lebih besar lagi, tetapi sebagai ingatan dan rasa prihatin, kerajaan turut menyampaikan sumbangan itu," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negeri, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Makhtar Mustafa dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan, Roslee Mamat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain