suria

Kanak-Kanak Perempuan Yang Hilang Tengah Hari Semalam Ditemui

SLIM RIVER: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilaporkan hilang tengah hari semalam dari rumahnya di Kampung Lintah, Slim Village, di sini ditemui semula dalam keadaan selamat pada Rabu.

Nor Aishah Umairah Zamzuri yang dilaporkan hilang pada pukul 12.30 tengah hari ditemui pada pukul 9.18 pagi Rabu oleh orang awam dan anggota Jabatan Bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Meor Mohd Ali Meor Husin yang mengetuai operasi tersebut berkata kanak-kanak itu di temui di kawasan kebun kelapa sawit kira kira 3 km dari rumahnya.

Kanak-kanak itu cuma mengalami gigitan nyamuk dan telah dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika dihubungi.

Meor Mohd Ali berkata pihaknya melancarkan operasi yang melibatkan 25 anggota selepas menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu daripada polis kira-kira pukul 4 petang Selasa.

Operasi yang bermula pada pukul 4.15 petang itu dihentikan pada 3 pagi tadi sebelum disambung semula pada pukul 8.30 pagi Rabu, katanya.

Sementara itu bapa kanak-kanak tersebut Zamzuri Mohd Salleh, 27, berkata dia menyedari kehilangan anak tunggalnya itu selepas diberitahu oleh mentuanya tengah hari semalam.

Beliau dan isterinya yang bekerja sendiri di sini bergegas pulang ke rumah mertuanya di Slim Village untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung bagi mencari anaknya sebelum membuat laporan polis.

Nor Aisah dikatakan bermain di halaman rumah dan emak mertua hanya menyedari kehilangannya apabila memanggilnya untuk makan tengah hari, katanya ketika ditemui di sini.

Zamzuri berkata ketika ditemui anaknya itu berdiri di dalam kawasan berlumpur sambil menangis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, DSP Anuar Osman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menganggapnya bukan kes jenayah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain