Permohonan Habeas Corpus Sarjan Tharmendarn Diputuskan Esok - Semasa | mStar

Permohonan Habeas Corpus Sarjan Tharmendarn Diputuskan Esok

KUALA LUMPUR: Permohonan habeas corpus untuk mendapatkan perintah pembebasan segera oleh Sarjan Tharmendran yang didakwa atas kesalahan bersubahat mencuri dua jet pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam permohonan tersebut pada Selasa.

Permohonan habeas corpus difailkan oleh Tharmendran, 42, pada 26 November 2010, bagi mendapatkan deklarasi bahawa penahanan terhadapnya oleh beberapa anggota TUDM pada 25 November tahun yang sama adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Dia ditahan semasa berada di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam, dekat sini, ketika sedang bersiap untuk pulang selepas selesai menghadiri prosiding mahkamah terhadapnya.

Penahanan itu dilakukan di hadapan peguamnya, N. Surendran yang menyebabkan beliau tidak mewakili Tharmendran pada prosiding habeas corpus.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh TUDM pula mengatakan bahawa dia ditahan atas alasan tidak hadir tugas selepas dijamin pada 6 September 2009 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 54, Akta Angkatan Tentera 1972.

Selaku pemohon, Tharmendran menamakan pegawai yang menahannya, Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli dari Provos Marsyal TUDM selaku responden pertama diikuti Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan.

Pada prosiding Selasa, Amer Hamzah menghujahkan bahawa tindakan responden menahan Tharmendran adalah melangkaui bidang kuasanya kerana akta tersebut hanya terpakai kepada anggota tentera.

“Pemohon bukan lagi seorang anggota tentera kerana perkhidmatannya telah dihentikan pada 28 Mei 2010, iaitu semasa berada dalam reman sementara menunggu perbicaraan bagi tuduhan bersubahat mencuri jet pesawat TUDM,” katanya.

Amer Hamzah menambah Tharmendran juga telah tidak menerima gaji sejak Jun 2010.

Selain itu, beliau juga mendakwa tindakan menahan Tharmendran dibuat dengan niat jahat untuk menghukumnya kerana mendedahkan kejadian-kejadian dia didera semasa ditahan oleh pihak TUDM.

“Penahanan tersebut juga dibuat kerana TUDM gusar pemohon akan mendedahkan lebih banyak fakta mengenai kecurian enjin pesawat tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Peguam Kanan Pesekutuan, Mohamad Tarmizi Ahmad yang mewakili responden pula menghujahkan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneliti, mengkaji dan menyemak keputusan yang dibuat oleh TUDM kerana perkara tersebut telah diperuntukkan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menetapkan supaya permohonan tersebut didengar pada 25 Januari ini, bagaimanapun ia dijadualkan semula untuk didengar pada Selasa.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, dekat sini atas tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 bernilai RM607,140, pada 2007 dan 2008.

Dia didakwa berbuat demikian di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi dekat sini pada 30 April 2008.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes tersebut akan dibicarakan pada 14 Jun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Cari Lelaki Bantu Siasatan Kes Penipuan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain