suria

Pendengaran Habeas Corpus Tharmendran Didengar 25 Januari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Januari ini untuk mendengar permohonan habeas corpus oleh bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sjn N. Tharmendran, untuk dibebaskan daripada tahanan TUDM.

Timbalan Pendaftar, Rusita Md Lazim menetapkan tarikh itu selepas menemui peguam bela Amer Hamzah Arsyad yang mewakili Tharmendran dan pihak Kementerian Pertahanan yang diwakili peguam kanan persekutuan, Mohd Tarmizi Ahmad dan Asyraf Ashyri.

Pendengaran permohonan itu dijadual semula oleh mahkamah dan akan didengar di hadapan Hakim Zabidin Md Diah.

Sebelum ini, permohonan itu yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam ditangguhkan beberapa kali berikutan hakim tersebut mempunyai kes lama yang perlu diberi perhatian mahkamah.

Pada 26 November lalu, Tharmendran yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat milik TUDM, memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan daripada tahanan.

Dia menamakan Leftenan Kolonel Mohd Razif Ramli; Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen; Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan Malaysia sebagai responden.

Dalam afidavit sokongan yang disertakan, Tharmendran mendakwa penahanan dan penangkapannya pada 25 November lepas adalah tidak berasas, salah dan tidak sah mengikut undang-undang dan bersifat mala fide (jahat).

Tharmendran, 42, mendakwa penahanan itu tidak mengikut undang-undang kerana dia adalah orang awam dan tidak lagi berkhidmat dengan TUDM sejak 28 Mei lalu.

Dia juga mendakwa keempat-empat responden itu bertindak di luar bidang kuasa yang melakukan tangkapan dan tahanan secara tidak sah.

Peguam N. Surendran, yang mewakili Tharmendran, berkata beliau telah memfailkan afidavit sokongan dan akan menjadi saksi dalam perbicaraan itu, dan sebab itu, peguam Amer Hamzah Arshad mengambil alih untuk mewakili bekas anggota TUDM itu. Pada 25 November lalu, Tharmendran ditahan semula oleh TUDM di perkarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam kerana kesalahan meninggalkan tugas.

Penahanan itu dilakukan oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya di mahkamah itu, yang turut disaksikan oleh Surendran dan pihak media.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Dia didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk mencuri dua enjin itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini. - BERNAMA

Artikel Lain