suria

Pemilik Restoran Didakwa Sogok Kakitangan TNB

SHAH ALAM: Seorang pemilik restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menyogok seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang didakwa sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan kerana mencuri arus elektrik.

Pengakuan Kok Pak Chiang, 36, yang menjalankan perniagaan di Damansara, dekat sini direkodkan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Dia didakwa memberi suapan tersebut dalam bentuk wang tunai RM2,000 kepada Penyelia Keselamatan Kanan TNB, Mohd Sanusi Zakaria pada pukul 1.30 pagi, 8 Julai 2010 di Restoran Syed Abu, 19 Jalan SS 22/19, Damansara Jaya, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Mohd Sanusi tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik Negara 1990.

Bagi kesalahan itu, Kok didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tiinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam Nik Mohd Hasrul Nik Hamdan merayu agar mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 yang ditawarkan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Siti Zakiah Che Man.

“Tertuduh menanggung ibu bapa dan anak. Saya mohon mahkamah mengurangkan jaminan ke atas tertuduh dan saya mencadangkan agar mahkamah menetapkan jaminan pada jumlah RM2,000,” katanya.

Azhaniz Teh selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,500 dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Lain